Adakah masalah lambat bercakap bermaksud anak anda menghidapi autisme? Soalan ini sangat kerap diutarakan oleh ibubapa yang mempunyai anak yang lambat bercakap. Sebenarnya masalah lambat bercakap memang sering dialami oleh anak-anak autisme namun ada juga anak yang tidak ada autisme tetapi hanya lambat bercakap. Ibubapa perlu tahu bezakan samada anak anda mengalami masalah lambat bercakap kerana autisme atau tidak. Kajian daripada Psychology Today mengatakan bahawa 70% anak yang mengalami masalah lambat bercakap tidak memiliki autisme.
Ibubapa perlu tahu setiap anak mempunyai tahap pencapaian yang berbeza-beza. Ada anak yang belum sampai 12 bulan sudah boleh menyebut beberapa perkataan, ada anak yang memerlukan masa yang lebih lama.
Sebelum kita kupas lebih lanjut, mari kita fahami apa itu autisme?
Autisme ialah gangguan neurodevelopmental yang mempunyai ciri kekurangan dalam komunikasi, interaksi social dan mempunyai tingkah laku yang terhad dan berulang dari segi minat dan aktiviti.
Anak autisme seringkali gagal dalam berkomunikasi dua hala, gagal untuk memahami arahan dan gagal untuk memulakan interaksi. Selain itu, anak autisme mengalami kesukaran atau tidak berminat untuk bermain bersama-sama rakan sebaya. Mereka juga tidak mempunyai ‘eye contact’ Ketika berkomunikasi. Seterusnya, mereka sering ada tingkahlaku yang berulang seperti memetik jari, menghentak kepala dan menggoyangkan badan ke depan dan ke belakang.
Anak yang didagnos sebagai autisme haruslah mempunyai semua ciri diatas namun ibubapa wajib menghantar anak untuk didiagnos oleh ahli psikologi, ahli psikiatri, pakar neurologi, doctor pakar perkembangan kanak-kanak atau pegawai perubatan yang berkelayakan setaraf. (senarai pakar pediatrik di Malaysia)
Apa pula maksud lambat bercakap?
Lambat bercakap adalah sejenis masalah komunikasi. Anak anda mungkin mengalami masalah lambat bercakap sekiranya mereka tidak mengikuti perkembangan bahasa yang normal. Sebagai contoh, pada usia anak 24 bulan seharusnya anak anda sudah boleh menyebut dua patah perkataan seperti “nak susu” namun jika anak anda tidak mampu untuk menghasilkan dua patah perkataan seperti yang sepatutnya, anak anda besar kemungkinan mengalami masalah lambat bercakap.
Namun begitu anak anda haruslah didiagnos oleh pakar yang bertauliah untuk mengesahkan sama ada anak anda ada masalah lambat bercakap atau tidak.
Namun agak berbeza bagi anak autisme yang lambat bercakap. Seperti yang saya kupas diatas, anak autisme lebih cenderung fokus kepada minat mereka sendiri dan agak sukar untuk bersosial dengan orang sekeliling. Anak autisme lebih berminat terhadap ‘benda’ berbanding orang, bermaksud anak autisme akan memberi lebih tumpuan kepada benda disekeliling mereka berbanding orang disekeliling mereka.
Anak autisme agak lambat respon apabila kita memanggil nama mereka dan mengalami masalah untuk bertindak balas apabila kita memanggil mereka. Anak autisme yang mengalami masalah lambat bercakap akan cenderung untuk mengulangi apa yang mereka dengar berulang kali. Contohnya jika anak sering melihat sesuatu rancangan berulangkali, mereka akan ulang dialog-dialog yang mereka dengar dan bukan berkomunikasi dengan kita. Mereka ada didalam dunia mereka sendiri.
Satu perbezaan besar untuk mengetahui samada anak anda ada masalah lambat bercakap dengan autisme atau tidak adalah melalui ‘eye contact’ dan respon apabila nama mereka dipanggil. Sekiranya anak anda ada ‘eye contact’ dan respon apabila nama mereka dipanggil, besar kemungkinan anak anda hanyalah mengalami masalah lambat bercakap tanpa autisme.
Kesimpulan
Adakah anak lambat bercakap bermaksud anak ada autisme? Tidak. Autisme sememangnya boleh menyebabkan anak anda lambat bercakap namun bukan semua anak yang lambat bercakap ada autisme. Anak-anak yang tidak mempunyai autisme juga boleh mengalami masalah lambat bercakap.
Pusat Perkembangan
Fit In Child Development Centre memberi penilian perkembangan yang boleh membantu menentukan masalah anak anda. Untuk maklumat lanjut, atau jika mempunyai sebarang pertanyaan, boleh layari fitin.edu.my dan dapatkan maklumat hubungan kami dalam bahagian “contact us“.