Seperti yang kita ketahui, autism dikenali sebagai gangguan yang bersifat spektrum di mana terdapat kepelbagaian pada ciri dan simptom yang ditunjukkan oleh anak-anak autism. Dalam erti kata lain, seorang anak autism mungkin mempunyai tingkahlaku dan kebolehan yang berbeza dengan seorang anak autism yang lain.
Sebenarnya, autism boleh diklasifikasikan kepada tiga tahap iaitu tahap 1, tahap 2, dan tahap 3 menurut Diagnostic and Statistical Manual of Mental Disorders (DSM-5). Tahap-tahap ini dicirikan mengikut tahap keterukan simptom yang dialami serta tahap sokongan yang diperlukan. Apabila kita tahu anak autism berada di tahap yang mana satu, kita dapat memahami dengan lebih baik apakah kemampuan mereka serta kesukaran yang mungkin mereka akan hadapi dalam kehidupan seharian mereka.
Mari kita kenali dengan lebih mendalam tahap-tahap autism.
Tahap Autisme 1: Memerlukan sokongan
Ini merupakan klasifikasi paling ringan atau juga kadangkala dikenali sebagai autism “berfungsi tinggi”. Anak autism dalam kategori ini seringkali mempunyai kesukaran dalam komunikasi sosial seperti memulakan interaksi sosial atau untuk melibatkan diri dalam perbualan dengan orang lain walaupun mereka dapat bercakap dalam ayat penuh dan sempurna. Kesannya, mereka mungkin menghadapi masalah untuk berkawan sekiranya tidak diberikan sokongan untuk mereka membina hubungan dan berinteraksi secara sepatutnya dengan orang lain.
Selain itu, mereka yang mempunyai autism tahap 1 juga menunjukkan tingkahlaku tidak fleksibel yang menyebabkan mereka tidak selesa dengan perubahan dan mempunyai kemahuan yang tinggi untuk mengikut jadual yang sama dan corak tingkahlaku yang berulang. Perkara ini menyebabkan mereka enggan untuk mencuba benda yang baharu serta mempunyai masalah untuk membuat perancangan, akibatnya mereka mungkin sukar untuk berdikari sama seperti rakan seusia yang lain.
Tahap Autisme 2: Memerlukan sokongan substantial
Anak autism yang menunjukkan kriteria tahap 2 memerlukan lebih banyak sokongan dari mereka yang berada di tahap 1. Masalah komunikasi sosial dan tingkahlaku berulang juga lebih jelas dapat diperhatikan pada anak autism dalam kategori ini. Anak autism tahap 2 lebih cenderung untuk bercakap dalam ayat mudah dan hanya berminat untuk berbual tentang topik yang spesifik. Selain itu, mereka juga mungkin mempunyai kesukaran untuk memahami isyarat sosial dan berkomunikasi secara tidak lisan seperti menggunakan ekspresi muka.
Masalah tingkahlaku tidak fleksibel seperti melakukan sesuatu perkara secara berulang kali dan kesukaran menghadapi perubahan juga lebih ditonjolkan dalam kalangan autism tahap 2. Hal ini berkemungkinan untuk menyebabkan gangguan untuk mereka menjalani kehidupan seharian.
Tahap Autisme 3: Memerlukan sokongan sangat substantial
Tahap ini merupakan tahap autism yang paling serius kerana anak autism yang dikategorikan dalam tahap 3 menunjukkan tingkahlaku yang sama dengan mereka yang berada dalam tahap 1 dan 2, namun pada peringkat yang lebih ekstrem. Seringkali mereka yang berada di tahap 3 ini tidak dapat berkomunikasi secara verbal ataupun hanya menggunakan beberapa perkataan yang berfungsi. Mereka juga menunjukkan interaksi sosial yang sangat terhad dan mungkin tidak normal, dan hanya untuk mencapai keperluan semasa. Perkara ini menyebabkan mereka mengalami kesukaran untuk bermain dengan rakan yang lain dan untuk membina hubungan bersama orang sekeliling.
Seterusnya, anak autism tahap 3 juga amat sukar untuk menerima perubahan dalam rutin dan persekitaran mereka serta untuk bertukar fokus dari satu perkara ke satu perkara yang lain. Mereka juga menunjukkan corak tingkahlaku yang berulang yang akan menjejaskan keupayaan mereka untuk berfungsi dalam aktiviti seharian.
Kesimpulannya
Sekarang, sudah jelas tentang ketiga-tiga tahap autism dan ciri-cirinya. Amat penting bagi ibu bapa atau penjaga untuk mengenalpasti dan memahami kategori anak autism mereka agar sokongan yang sesuai dapat diberikan untuk mereka menjalani kehidupan seharian mereka. Namun begitu, harus juga diperingatkan bahawa ciri-ciri yang dibincangkan ini adalah umum dan mungkin tidak dapat meliputi kesemua gejala khusus yang ditunjukkan oleh anak autism serta keperluan dan keperibadian mereka yang semestinya akan berbeza-beza dari satu individu ke satu individu yang lain. Oleh itu, amat penting untuk mendapatkan pandangan pakar untuk memeriksa atau mendiagnosis anak anda sekiranya terdapat sebarang ciri autism yang dapat diperhatikan kerana intervensi yang awal akan dapat membantu anak anda untuk mendapatkan sokongan dan rawatan dengan lebih cepat.